Pasa hari Isnin, bersamaan 12hb Julai 2010 bermula semester ke-7, bermula 1 lagi episod dalam hidupku. Tanpa disedari sudah 3 tahun ku menuntut ilmu dan pengalaman di bumi Univesrsiti Teknologi Malaysia, Skudai.
Langkah kakiku bagaikan ada semangat menuju ke kuliah pada pagi ini. Namun setibanya di kelas, aku agak terkilan kerana hanya sebahagian sahaja rakan yang menghadirkan diri ke kelas sedangkan dalam pengetahuanku kebanyakan yang tidak hadir itu sudah kembali ke UTM. Semangat tadi seakan lumat dimamah emosi.
Mengapa begitu mudah ponteng kuliah. Adakah tak sedar bahawa mereka sedang melunturkan nilai keberkatan ilmu. Mungkin kita tidak sedar, guru atau pensyarah kita penuh semangat hadir ke kelas untuk menyampaikan ilmu sedangkan kita 'syok' dibuai mimpi di atas katil yang empuk di bilik. Di manakan letaknya nilai adab kita dengan guru kita. Mungkinkah kita memperoleh ilmu dengan cara sedemikian?
Begitu besar ganjaran bagi orang yang menuntut ilmu. Apabila dalam perjalanan pergi menuntut ilmu serta duduk dalam majlis ilmu sahaja sudah dapat ganjaran yang hebat. Sabda Rasulullah;
Maksudnya: ".....Barangsiapa menjalani suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, nescaya Allah akan memudahkan jalannya ke syurga. Dan tidak berhimpun satu kaum dalam satu rumah daripada rumah-rumah Allah untuk membaca kitab Allah dan mempelajarinya di antara mereka melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan dan diliputi oleh rahmat dan dilingkungi oleh malaikat, dan Allah menyebut mereka kepada yang berada di sisi- Nya....". (HR Muslim)
Kita juga perlu sedar ilmu itu juga memberi kemuliaan dan keutamaan kepada ahlinya. Bahkan lebih utama kepada kita, penuntut ilmu agama. Firman Allah;
Maksudnya: "....supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama(dari kalangan kamu) beberapa darjat". (Al-Mujadalah, 58:11)
Sabda Rasulullah;
Maksudnya: "Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan, maka dia dipintarkan dalam agama". (HR Bukhari dan Muslim)
Keberkatan ilmu bukanlah terletak pada kejayaan dalam peperiksaan, bukan jua kepintaran dalam menguasai ilmu, serta bukan jua kehebatan dalam meraih jawatan atau pekerjaan yang baik. Keberkatan itu bukanlah sesuatu yang abstrak, boleh dilihat. Ia tidak dapat dilihat manusia samada seseorang itu telah mendapat keberkatan ilmu atau tidak.
Ia hanya dapat dirasa apabila Allah menunjukkan kesan keberkatan ilmu ke atas individu itu. Apabila keberkatan ilmu diperolehi, keimanan akan bertambah, ketaqwaan kepada Allah semakin kukuh, ketenangan hati menghadapi ujian hidup semakin dirasai, rasa malu pada Allah bila melakukan kemungkaran, ilmu diingat walaupun sudah lama ia dipelajari, ilmu sentiasa menjadi panduan dalam hidup, ilmu memberi manfaat kepada diri dan orang lain. begitulah pula sebaliknya jika tiada keberkatan ilmu. Allah jua yang Maha Mengetahui.