Monday, July 12, 2010

Mendamba Setitis Embun Kasih-Mu

Aku Mulakan Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas Rasulullah serta ahli keluarganya dan Para Sahabatnya. Kasihnya kepada umat Islam terutamanya umat selepasnya menjadikan dirinya tak pernah mengenal erti lelah dalam berjuang dan tidak jemu berdoa sehingga ke hujung nafasnya.

Pada hari ini, 12hb Julai 2010, aku mula menulis blog yang dinamakan "Setitis Embun Kasih". Bermula episod kehidupan kita diciptakan di dunia ini sebagai insan yang fitrah (suci dari segala kekotoran), kemudian dihadirkan hidayah Islam dalam diri, kemudian menjalani hidup dengan pelbagai nikmat yang tak terhitung nilai dan tak terbayar harganya. Kemudian dengan kasih yang agung itu juga kita dijanjikan dengan nikmat syurga yang tiada tara dan kekal buat selamanya seandainya mengucap syahadatain dan beriltizam dengan Islam dengan mengabdikan diri kepada Pencipta yang Maha Agung dan Maha Bijaksana.

Tulisan dalam blog ini bukanlah kerana mahu dipuji atau berbangga kerana sememangnya diriku banyak kekurangan dan kelemahan. Ia sekadar luahan rasa hati atas pelbagai adegan dalam sebuah lakonan hidup di atas pentas duniawi yang ku jalani. Moga ia menjadikan diriku lebih teguh keimanan di hati. Bagi siapa yang sudi membaca, terima kasih ku ucapkan kepada kalian. Ku harapkan teguran dan doa kalian. Sekian.

No comments:

Post a Comment