Friday, January 14, 2011

MENILAI ADAT DAN SYARIAT

Adat dan syariat adalah dua perkara yang saling berkaitan dengan kehidupan manusia. Ia bertujuan menyusun atur kehidupan manusia supaya lebih tersusun dan harmoni. Cuma bezanya adat itu berasal dari ketetapan manusia berdasarkan akalnya, manakala syariat berasal dari ketetapan yang Maha Pencipta dan Maha Bijaksana yang disampaikan oleh Rasulullah kepada seluruh umat manusia. Firman Allah:

Maksudnya: “dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (al-Anbiya’,21:107)

Adat itu adakalanya membawa kemudahan dan keharmonian hidup manusia, tetapi adalanya membawa kesusahan dan kerosakan kehidupan. Ia sangat bergantung kepada keadaan dan situasi semasa dan setempat. Manakala syariat pula akan sentiasa membawa kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup manusia tanpa mengenal masa dan keadaan. Walaupun terkadang merasakan ia menyusahkan, tetapi pastinya ada hikmah di sebaliknya kerana ia adalah ketetapan yang Maha Bijaksana, dari Tuhan yang menciptakan manusia dan segala-galanya.

Setiap adat perlu dipastikan agar tidak menyusahkan dan tidak memberi kemudharatan kepada manusia dan makhluk selainnya. Ia juga perlu dipastikan agar tidak bertentangan dengan syariat. Berbeza dengan syariat, ia akan berdiri dengan sendirinya tanpa perlu ada dokongan lain. Bahkan ia menjadi kayu ukur kepada adat agar tidak berlaku pertentangan antaranya. Jika berlaku pertentangan antara kedua-duanya, maka mesti diutamakan syariat. Tidak kira samada adat itu dikemudiankan ataupun ditinggalkan terus.

Contoh yang paling jelas dalam kehidupan sekarang ialah dalam masalah perkahwinan. Banyak perkara adat yang sering berlaku pertentangan dengan syariat seperti dalam hal hantaran yang terlalu tinggi. Hantaran adalah sesuatu adat dalam masyarakat, tiada ketetapan lagnsung dalam Islam. Ianya hanya sebagai pertukaran hadiah dari kedua-dua belah pengantin. Itu tidak menjadi masalah kerana tidak bertentangan dengan syariat. Masalahnya adalah hantaran yang ditetapkan adalah terlalu tinggi sehinggakan pihak lelaki tidak mampu untuk menyediakannya dan terpaksa tunggu bertahun-tahun untuk mencukupkan wang simpanannya. Apatah lagi kos perbelanjaan yang tinggi pada zaman sekarang. Sehinggalah terkadang berlaku kes seks rambang, seks bebas, pembuangan bayi dan sebagainya lantaran tidak dapat melepaskan nafsu pada jalan yang halal melalui syariat kerana terhalang oleh adat.

Wallahu a’lam. Sama-sama kita renungkan dan beramal.

No comments:

Post a Comment